Tuesday, 10 January 2012

Gerbang Negeri: Institusi kekeluargaan, kejiranan belum kukuh

KETIKA 2011 melabuhkan tirainya, kita dikejutkan dengan kejadian malang menimpa dua beradik yang kaki mereka diikat dengan rantai besi dan dikunci dengan mangga selain dikurung dalam tandas kotor selama lebih lima jam dalam kelaparan.

Dalam kejadian di rumah mereka di Jalan Mawar, Taman Dahlia, Butterworth 28 Disember lalu, kanak-kanak berusia dua dan enam tahun itu didakwa ditinggalkan bapa mereka ketika hendak bekerja kira-kira jam 3 petang.
Dua kanak-kanak itu bernasib baik kerana jeritan mereka untuk meminta pertolongan didengar jirannya yang terus menghubungi polis memaklumkan kejadian itu.
Jika cara didikan salah, maka hasrat untuk lahir modal insan berkualiti tidak kesampaian
Ketika diselamatkan kira-kira jam 8.40 malam, dua beradik itu yang hanya berbaju dan berseluar dalam, berada dalam keadaan amat menyedihkan.
Kerana tindakannya itu, bapa kepada kanak-kanak itu didakwa di Mahkamah Majistret Butterworth atas pertuduhan merantai kaki dua anaknya dan mengurung mereka.

Bapa terbabit didakwa atas dua pertuduhan mendedahkan anaknya yang berusia dua dan enam tahun kepada kecederaan fizikal dan emosi dengan merantai serta mengurung mereka dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Ketika 2012 menjengah pula, kita dikejutkan lagi dengan kejadian bapa mengurung anak dan kali ini ia berlaku di sebuah pangsapuri di Jalan Perak, Jelutong, Georgetown, 2 Januari lalu.
Kali ini ia membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, yang disyaki mangsa dera berdasarkan kesan lebam lama dan baru di belakang badan dan calar di kaki serta tangan.

Dia dikatakan menangis dan meminta tolong selama 10 jam, bermula jam jam 3 petang sehinggalah diselamatkan pada jam 1 pagi.

Sebaik diselamatkan oleh anggota polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), budak itu yang ketakutan, tetapi tidak mengalami kecederaan fizikal, dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk pemeriksaan lanjut.

Siasatan awal mendapati mangsa menangis kerana dipukul oleh bapanya yang berusia 49 tahun selepas budak itu dikatakan bermain dompet bapanya. Ibu mangsa yang berusia 40 tahun tiada di rumah kerana bekerja kilang.

Dua kejadian itu menimbulkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat yang melihat tindakan pelakunya sebagai amat keterlaluan kerana anak sepatutnya dijaga dengan baik serta diberikan layanan sempurna.

Anak yang dikurniakan Tuhan tidak harus menjadi tempat melepaskan geram bagi ibu bapa walaupun senakal mana mereka atau dibiarkan tanpa sebarang jagaan yang rapi.

Penulis juga bersetuju dengan saranan itu kerana sedar bahawa kanak-kanak adalah generasi penyambung kepada kemajuan negara kerana merekalah yang akan mewarisinya pada masa depan.

Jika cara didikan baik serta betul, maka bakal pemimpin yang dilahirkan bagi menguruskan hal ehwal pentadbiran negara serta rakyat biasa menyokongnya juga sudah tentu baik.

Tetapi jika cara didikan salah, maka hasrat untuk melahirkan modal insan berkualiti tidak kesampaian.

Dalam kes pertama membabitkan dua beradik, ia sebenarnya mendedahkan bahawa institusi kekeluargaan atau kejiranan di negara ini masih mempunyai kelemahan walaupun secara umumnya ia cukup mantap.

Timbul persoalan kenapa bapa terbabit tidak menghantar anaknya untuk dijaga ahli keluarga terdekat atau jirannya sepanjang dia keluar bekerja? Sepatutnya itulah langkah terbaik sekiranya dia tidak mempunyai berkemampuan menghantar anaknya ke pusat jagaan berbayar.

Ia menunjukkan bahawa institusi kekeluargaan atau kejiranan masih belum mantap sehingga menyebabkan masalah untuk menjaga anak yang dihadapi bapa terbabit tidak dapat diatasi dan kanak-kanak kecil pula menjadi mangsa.

Pergaulan mesra, saling menjaga kebajikan satu sama lain dan tolong-menolong mungkin sudah pudar di kalangan masyarakat kini terutama yang tinggal di bandar besar, berbeza dengan pada masa dulu serta di luar bandar.

Semangat serta sikap seperti ini harus dikembalikan semula untuk memantapkan semula institusi kekeluargaan dan kejiranan sekali gus menyelesaikan masalah dihadapi sesebuah keluarga.

Jika ini dapat dilakukan, bukan saja masalah kanak-kanak dikurung serta ‘terseksa’ dapat diatasi, tetapi lebih penting adalah ia dapat melahirkan modal insan berkualiti bagi memastikan pembangunan terus berjalan lancar.

Apa yang diharapkan adalah tiada lagi kejadian kanak-kanak tidak berdosa dikurung walau dengan apa jua alasan kerana mereka mempunyai hak untuk hidup selesa serta membesar dalam keadaan selesa.

Forum: Remaja tanpa didikan khusus mudah tersasar

MASYARAKAT sering menumpukan pendidikan peringkat kanak-kanak, tetapi jarang kita dengar tumpuan diberikan kepada remaja, terutama pendidikan yang boleh dijadikan panduan dalam menjalani kehidupan seharian. Remaja dewasa ini umpama hidup tanpa arah dan tujuan. Pendidikan yang mereka peroleh seolah-olah gagal membentuk keperibadian seperti disyariatkan Islam. Kebanyakan mereka terbabit dengan gejala yang tidak bermoral. Alasannya semata-mata kerana inginkan keseronokan dan hiburan. 

Mengejar keseronokan menyebabkan mereka lupa tanggungjawab dan melupakan tujuan asal mereka diciptakan di muka bumi Allah ini.
Adakah kerana pendidikan yang diterima ketika peringkat kanak-kanak tidak membantu untuk mereka tumbuh menjadi remaja yang mempunyai identiti sendiri tanpa perlu terikut-ikut dengan budaya luar yang dianggap lebih ‘serasi’ dengan jiwa remaja.
Masalah sosial umpamanya, yang membabitkan remaja kini bukan satu perkara yang boleh diambil mudah. Jumlah mereka yang terbabit dalam pelbagai jenayah dilihat kian meningkat. 

Namun disebabkan kerajaan memikirkan masa depan mereka, ada dalam kalangan mereka yang diberi hukuman alternatif demi untuk mengelakkan mereka bergelar ‘banduan’ sebaik saja hukuman berakhir. 

Semua ini perlu kita perhatikan dari saat awal perkahwinan. Kebanyakan pasangan yang mendirikan rumah tangga pada waktu ini kurang mempersiapkan diri dengan ilmu perkahwinan. Jika ilmu perkahwinan mereka kurang apatah lagi jika bercakap soal ilmu keibubapaan. 

Bagaimana mungkin mereka mampu mendidik anak. Akhirnya tugasan itu nanti diserahkan kepada pembantu rumah dan akhirnya kepada guru di sekolah. Maka dengan itu, kanak-kanak itu membesar menjadi remaja yang dibentuk bukan daripada acuan didikan kedua-dua ibu bapanya, tetapi lebih kepada pengaruh pendidikan ‘orang luar’ yang berada di sekeliling mereka. 
Oleh yang demikian, tidak menghairankan apabila ada remaja yang terbabit dengan ‘gangsterisme’ kerana inginkan perhatian. Tempoh waktu sebagai remaja amat penting kerana ketika itu remaja memerlukan perhatian. Kebanyakan remaja di Malaysia tidak pernah diberi kebebasan untuk meluahkan kehendak dan buah fikiran mereka. Bentuk pendidikan yang diberikan menjadikan mereka sebagai seorang individu yang hidup sekadar memenuhi kehendak orang lain iaitu ibu bapa.

Bila waktunya ibu bapa atau penjaga pernah memberi ruang kepada remaja untuk membuat pilihan dan keputusan dalam hidup mereka? 

Mungkin kebebasan itu tidak diberikan 100 peratus untuk mereka memilih, tetapi sekurang-kurangnya bimbing mereka untuk membuat keputusan agar apa juga bentuk keputusan dibuat dalam kehidupan mereka tidak akan dikesali. 

Jika keputusan yang mereka pilih menemui kegagalan sekurang-kurangnya sebagai remaja mereka belajar untuk menangani kegagalan dan berusaha untuk memperbaiki diri dan semua ini memerlukan bimbingan kedua ibu bapa. Oleh itu, sekurang-kurangnya berilah ruang dan peluang kepada remaja untuk mencorak jalan hidup mengikut minat dan kemampuan mereka. 

REMAJA RESAH, 
Selayang, Selangor. 

Sukar gambarkan perhimpunan di padang Mahsyar

Setiap amalan di dunia dihisab

MAKHLUK dan alam luas ciptaan Allah SWT akan tiba masanya menempuh saat kemusnahan dan kehancuran. Lihatlah tumbuh-tumbuhan menghijau di sekeliling kita akhirnya akan kuning layu, besi yang keras berkarat dan menjadi reput, makanan segar menjadi basi, manusia dimamah usia, akhirnya menemui ajal.
Dunia yang kita duduki dan diami hari ini pun semakin tua. Suasana yang berlaku bukan terjadi secara kebetulan tetapi suatu perkhabaran dan petanda awal bahawa seluruh ciptaan Allah SWT akan menemui ajalnya pada suatu detik dinamakan kiamat.
Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap). Dan apabila bintang gugur berselerak dan apabila gunung-ganang diterbangkan ke angkasa (selepas dihancurkan menjadi debu). - Surah at-Takwir, Ayat 1-3
Tiupan sangka kala pertama tanda bermulanya kiamat, manakala tiupan sangka kala kedua menandakan kebangkitan manusia yang mati sejak zaman nabi Adam sehingga manusia terakhir ketika berlaku kiamat. 

Roh dan tubuh badan manusia yang berpisah ketika di alam barzakh bercantum semula hingga lengkap seperti tubuh sebelum mati untuk menghadapi hari pengadilan. 

Dahsyatnya kiamat dijelaskan Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap). Dan apabila bintang gugur berselerak dan apabila gunung-ganang diterbangkan ke angkasa (selepas dihancurkan menjadi debu).” (Surah at-Takwir, ayat 1-3) 

Kebangkitan semula manusia selepas kiamat akan dihimpunkan di padang Mahsyar untuk menghadapi perbicaraan atau timbangan amalan di dunia. Setiap sudut padang Mahsyar penuh sesak dengan manusia dan jin untuk bersama mengharungi hari hisab. 
Menurut Imam Ghazali, padang Mahsyar itu suatu dataran bumi yang luas, saujana mata memandang tidak dapat dihitung dengan ilmu manusia, keadaan bumi yang putih dan rata, tiada gunung ganang dan tiada pokok kayu untuk dijadikan tempat berteduh. 

Pada dataran putih itulah manusia yang baru dibangkitkan semula dihalau ke sana seperti binatang ternakan keluar dari kandangnya atau seperti kanak-kanak baru lahir, dengan keadaan berkaki ayam dan bertelanjang bulat tanpa pakaian.

Dalam keadaan terlalu gawat menghadapi cabaran Mahsyar itu manusia terlupa dirinya tidak berpakaian kerana memikirkan bagaimana hendak menyelamatkan diri masing-masing. 

Abu Hurairah berkata, beliau mendengar Rasulullah SAW berpidato di hadapan sahabat bahawa manusia di padang Mahsyar akan dibangkitkan kelak dalam tiga bentuk. Pertama, dibangkitkan dengan keadaan kenderaan sudah tersedia untuk membawa mereka.

Kedua, manusia yang berjalan kaki dan ketiga, manusia yang berjalan dengan mukanya tertungging ke tanah. Digambarkan juga suasana hiruk-pikuk dan kucar-kacir yang menyelubungi manusia kerana masing-masing sibuk dengan hal tersendiri. 

Ada yang berjalan, merangkak dan bermacam lagi dalam suasana panas cahaya matahari berada hanya sejengkal di atas kepala. Ada sesetengah manusia ditenggelami dengan peluh yang banyak dan berbau busuk bergantung kepada tahap amalan semasa di dunia. 

Ketika sedang terlalu dahaga, datang malaikat Zabaniah membawa air untuk ahli Mahsyar. Pada mulanya ahli Mahsyar amat gembira, malangnya air itu tersangat panas sehingga apabila mangkuk air didekatkan ke bibir, maka daging bibir luruh berguguran kerana air terlalu panas.

Persoalan besar timbul dalam kalangan ahli di padang Mahsyar ialah berapa lama mereka mesti berada di dataran itu? Ada pendapat mengatakan selama 300 tahun mengikut tahun akhirat. 

Walaupun tidak ada pohon untuk memberi perlindungan dari bahan panas terik, tetapi Allah SWT menyediakan bayang Arasy yang redup. Mereka yang mendapat naungan Arasy antaranya ialah golongan al-Muqarrabun iaitu orang yang dekat dengan Allah SWT. 

Golongan al- Muqarrabun merujuk kepada mereka ketika hidupnya di dunia sentiasa patuh arahan Allah SWT serta meninggalkan perkara yang dilarang sama ada dalam soal akidah atau syariah. 

Yakinlah bahawa setiap manusia di padang Mahsyar nanti akan melalui perbicaraannya, disoal dan diperiksa satu persatu, tidak akan terkecuali sesuatu pun dari hidupnya di dunia sekalipun yang sulit dan tersembunyi. Bahkan semua anggota dan bahagian kecil tubuh pun ditanya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak berganjak kedua kaki seseorang dari tempat berdirinya di mahkamah Tuhan pada hari kiamat sehingga ia disoal empat perkara; umurnya pada perkara apakah ia habiskan; masa mudanya untuk apa digunakan; harta bendanya dari manakah ia dapati dan pada perkara apakah ia belanjakan dan amalan dilakukan sesuai dengan apa yang telah diketahuinya?” (Hadis riwayat At-Tirmizi) 

Insaflah dan sedarlah bahawa kegawatan dan kesengsaraan di padang Mahsyar yang memakan masa ratusan tahun itu amat dahsyat. Marilah kita semasa masih sihat, bertenaga dan ada peluang melakukan muhasabah diri serta sentiasa bertaubat kepada Allah SWT.

Muhasabah penting supaya buku rekod catatan amalan menunjukkan amalan yang cemerlang dan digolongkan sebagai kumpulan al-Muqarabbun.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah engkau menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka. Mereka terburu-buru sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka tidak bersemangat kerana bingung dan cemas.” (Surah Ibrahim, ayat 42-43).

2012 janji pasaran buku

SASTERA
Buku kanak-kanak dan agama kekal beri keuntungan besar
BUKU kanak-kanak dan buku agama dijangka terus menjadi fenomena dalam industri penerbitan di Malaysia tahun ini, manakala novel cinta akan kekal memberi keuntungan kepada penerbit dengan manuskrip yang lebih positif pendekatannya.Pengurus Besar Editorial Grup Buku Karangkraf, Sri Diah Shaharuddin, ketika ditemui Sastera menjelaskan, pasaran buku kanak-kanak dijangka terus berkembang meskipun dari segi jumlah penerbit yang menghasilkan buku kanak-kanak ramai, tetapi ia memberi lebih banyak pilihan kepada pembaca.
Gambar Hiasan
Tahun ini 11 novel yang diadaptasi ke drama dan filem dijadualkan melonjakkan jualan karya asal. Kebanyakan novel itu sebahagian besarnya sudah lama diterbitkan. Hanya beberapa naskhah saja membabitkan karya baru. - Azrina Azmi, Penolong Pengurus Perdagangan, Jabatan Bahasa Melayu POPULAR
“Persaingan ini memastikan lebih banyak buku kanak-kanak muncul di pasaran dengan persembahan sangat menarik sehingga bukan saja memikat kelompok terbabit, tetapi juga ibu bapa yang mencari pilihan buku terbaik untuk anak mereka,” katanya.

Selain buku kanak-kanak, syarikat terbabit turut yakin bahawa buku agama akan mencatat perkembangan ekoran pasarannya yang besar dan andaian itu dibuat berdasarkan keuntungan yang dicatat buku agama di bawah jenama Karya Bestari untuk tahun lalu meningkat tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

“Satu daripadanya adalah faktor pendekatan dalam penghasilan buku agama yang lebih meruntun jiwa. Kita tidak lagi bercakap soal buat jahat dibalas neraka, tetapi pendekatan yang lebih dekat dengan jiwa pembaca. Misalnya keindahan syurga dan paling laris ketika ini ialah Soalan Bocor dari Kubur,” katanya.
Sri Diah berkata, buku dengan judul mendamaikan jiwa, adalah strategi yang lebih berkesan dalam memikat perhatian pembaca, bukan sekadar kulit buku menarik kerana mereka kini tidak lagi boleh dimomokkan dengan balasan neraka seperti suatu ketika dulu.

“Sungguhpun demikian, kami tidak menafikan novel pop dalam industri percetakan negara terus relevan kerana ramai pengikut dan hakikat karya sedemikian sememangnya malar zaman. Bagaimanapun, kami lebih berpilih dengan manuskrip lebih positif menjadi pilihan, selain novel dengan kisah cinta remeh-temeh akan diketepikan,” katanya sambil menegaskan buku motivasi, kerjaya dan keusahawanan juga turut berkembang pada pasaran ini.

Penolong Pengurus Perdagangan, Jabatan Bahasa Melayu, Bahagian Perdagangan Inggeris, Popular Book Co (M) Sdn Bhd (POPULAR), Azrina Azmi, berkata majikannya meramalkan novel cinta yang diadaptasi ke layar perak dan dijadikan drama bersiri akan menjadi kegilaan pada tahun ini.

“Tahun ini 11 novel yang diadaptasi ke drama dan filem dijadualkan melonjakkan jualan karya asal. Kebanyakan novel itu sebahagian besarnya sudah lama diterbitkan. Hanya beberapa naskhah saja membabitkan karya baru,” katanya.

Seperti Karangkraf, POPULAR turut meramalkan buku agama akan terus menjadi fenomena seperti karya Dr Azhar Idrus yang mempunyai ramai pengikut meskipun judul buku tidak banyak, tetapi buku yang dihasilkan mendapat sambutan hangat pembaca dan trend itu dijangka berterusan sehingga 2012.

POPULAR juga menerusi program Ekslusif POPULAR dijangka melebarkan lagi senarai penulis yang mengedarkan buku secara eksklusif dengan syarikat itu dan antara yang berkemungkinan besar menyertainya ialah Fauziah Ashari dan Ahadiat Akashah.

Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Dr A'Azmi Shahri pula menyifatkan, secara umumnya tidak banyak kejutan yang akan berlaku, malahan fenomena buku remaja dan kanak-kanak yang mendapat sambutan di Malaysia ketika ini sebenarnya tidak jauh berbeza dengan negara lain.

“Jika dilihat pada pameran buku di Malaysia, Indonesia, China dan Thailand bagi tahun lalu, segmen buku remaja didapati masih menjadi fokus penerbit, manakala penerbitan buku agama dijangka terus popular di Malaysia sehingga beberapa tahun lagi, ”katanya.

Selain itu, syarikat penerbitan yang sama akan masih berupaya mengukuhkan kedudukan mereka dalam pasaran buku untuk beberapa tahun akan datang dan hanya berubah jika modal insan daripada syarikat gergasi keluar dari kepompong syarikat yang didukungi dan membina syarikat baru.

“Jika ini berlaku, syarikat baru itu sudah pasti mempunyai potensi tinggi dan menjadi pesaing yang ‘menarik’ dalam pasaran di negara kita. Saya juga menjangka syarikat penerbitan tempatan akan mengkaji peluang memasarkan karya mereka melalui jualan hak cipta kepada syarikat penerbit luar negara,” katanya.

SBPA Didakwa Pinggir Pensyarah

RAZLI (kiri) bersama Omar pada sidang media selepas perjumpaan dengan wakil MPKA seluruh negara di Putrajaya, semalam.
RAZLI (kiri) bersama Omar pada sidang media selepas perjumpaan dengan wakil MPKA seluruh negara di Putrajaya, semalam.
JPA diminta kaji kenaikan gaji dengan ambil kira kesarjanaan, kekananan

PUTRAJAYA: Majlis Persatuan Kakitangan Akademik (MPKA) Malaysia yang mewakili kira-kira 30,000 pensyarah gred 54 ke bawah di 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji semula pelarasan gaji mengikut Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dilihat meminggirkan mereka.
Pengerusi MPKA Malaysia, Prof Madya Dr Razli Che Razak, berkata kajian semula itu perlu kerana peralihan tangga gaji dari Sistem Saraan Malaysia (SSM) ke SBPA untuk kakitangan akademik bergred DS54, DM54, DU54 dan DUG54 ke bawah didapati meminggirkan prinsip kesarjanaan dan kekananan seseorang kakitangan akademik di IPTA.
Beliau berkata, MPKA melihat pelarasan gaji berkenaan sepatutnya mengambil kira aspek kesarjanaan dan kekananan seseorang pensyarah dalam pelaksanaan SBPA supaya ia adil kepada semua pihak. 

“Jika kita lihat kembali pengumuman Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2012, kenaikan gaji penjawat awam mesti antara tujuh hingga 13 peratus daripada gaji mereka mengikut SSM, tetapi ia tidak berlaku kerana hasil analisis mendapati peningkatannya (mengikut SBPA) hanya kira-kira tiga peratus.

“Malah, jika dilihat dari segi gaji permulaan pensyarah gred DS45 mengikut SSM dan SBPA, kenaikan hanya RM3.90 iaitu daripada RM2,546 kepada RM2,550. Bagi kenaikan gaji gred 52 dan 54 pula tidak mengambil kira aspek kekananan dan tempoh perkhidmatan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan wakil MPKA dari seluruh negara di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau berkata, MPKA mendesak JPA melantik sekurang-kurangnya tiga wakilnya menganggotai Majlis Bersama Kebangsaan tanpa kekangan gred dan tidak mengira sama ada mereka dari kumpulan profesional atau bukan. 
Selain itu, Razali berkata, JPA perlu mempertimbangkan pemberian insentif baru kepada kakitangan akademik berdasarkan status universiti atau kepakaran seperti Universiti Penyelidikan atau Universiti APEX menerusi pelaksanaan pemberian insentif di bawah SBPA pada 2013. 

“Kita juga berharap JPA akan mengkaji semula dan mengubah frasa opsyen dalam surat tawaran SBPA yang bertulis ‘muktamad’ kerana ia dilihat sebagai paksaan dan tidak membenarkan rundingan,” katanya.

Berikutan itu, MPKA bercadang mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, bagi membincangkan masalah itu.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman, yang turut hadir berkata, beliau menyokong tindakan MPKA itu dalam menyuarakan pandangan mereka kerana ia mampu menjamin kebajikan kakitangan akademik di negara ini.

“Kebajikan kakitangan akademik amat penting kerana mereka memainkan peranan besar dalam pembangunan modal insan dan melahirkan tenaga kerja berkualiti di Malaysia.

“Justeru, CUEPACS berharap JPA turut mengambil kira desakan dan pandangan kakitangan akademik di IPTA dalam perbincangan mereka tidak lama lagi,” katanya.
(sumber dari sini)

Mahkamah bebaskan Anwar & Saiful Bukhari Tenang dan Redha Dengan Keputusan Mahkamah

Mahkamah bebaskan Anwar

2012/01/09

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebas dan melepaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Gambar Hiasan
Keputusan itu dibacakan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, di Mahkamah Tinggi Jenayah 3 di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini sebentar tadi.
Mohamad Zabidin menyatakan mahkamah tidak dapat memastikan 100 peratus bahawa integriti sampel DNA tidak terusik.
“Saya mendapati adalah tidak selamat untuk bergantung kepada bukti DNA. Justeru, mahkamah hanya ada keterangan Saiful.

"Oleh kerana ini adalah jenayah seksual, mahkamah keberatan untuk menyabitkan berdasarkan keterangan Saiful. Tertuduh oleh itu dibebas dan dilepaskan," katanya.

Pihak pendakwaan yang diketuai Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusuf Zainal Abiden, ketika ditemui, berkata mereka belum memutuskan sama ada akan membuat rayuan terhadap keputusan dan berkata, mereka ada 10 hari untuk berbuat demikian. 

Anwar, 64, dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan meliwat Mohd Saiful di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara di sini, antara jam 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. 
Perbicaraan kes liwat berkenaan yang mendapat tumpuan meluas media dan orang ramai, bermula pada 3 Februari 2010 dengan pihak pendakwaan memanggil 27 saksi dan empat saksi menyangkal, manakala lapan saksi pembelaan dipanggil termasuk Anwar yang memberikan keterangan daripada kandang tertuduh.

Ia adalah tuduhan liwat kedua dihadapi Anwar. Pada 1998, beliau pernah dituduh meliwat pemandunya, Azizan Abu Bakar.

Bagi tuduhan berkenaan, Anwar disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun selepas rayuan Mahkamah Persekutuan menolak sabitan dan mengetepikan hukuman penjara serta membebaskan Anwar. (sumber dari sini)

---------------------------------------------------------------------------------------------
Saiful Bukhari Tenang dan Redha Dengan Keputusan Mahkamah

KUALA LUMPUR – Bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan redha dengan keputusan Mahkamah Tinggi apabila membebaskan bekas majikannya itu daripada tuduhan kes liwat yang dibuatnya tiga tahun lalu
” Tidak di dunia, namun di Masyar PASTI. Redha dgn ketentuaNya.  Akn trs tenang, doa, istiqamah & sabar. Illahi Antal Maksudi Wa Ridhoka Mathlubi,” katanya dalam twitter miliknya.
Perbicaraan kes itu bermula pada 3 Februari 2010 iaitu kira-kira dua tahun tujuh bulan selepas Anwar didakwa di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008.
Kes itu mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan ekoran pelbagai permohonan difailkan oleh Anwar sehingga berpuluh-puluh kali penangguhan telah dibenarkan oleh mahkamah.
Mohd. Saiful Bukhari dalam blognya turut mengucapkan terima kasih di atas doa dan sokongan rakyat Malaysia terhadapnya sebelum ini. Dia juga meminta semua terus berdoa agar kebenaran membabitkan kes itu muncul. Dia turut menyelitkan sepotong ayat Al-Quran;
“Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar.” (At-Taubah 9:129)
Mohd. Saiful Bukhari turut menulis – Yang pasti, jika diambil nyawa, akan pergi dengan tenang, tiada lagi berhutang “Kebenaran” dengan sesiapa.
Dia dijangka mengulas keputusan mahkamah dalam blognya dalam masa terdekat
-Oleh SYAHRIL A. KADIR (sumber dari sini)

Tak Sarapan, Minda Tumpul

Ibu berperanan penting galak anak bersarapan.
Ibu berperanan penting galak anak bersarapan.
Makan pagi berkhasiat asas kekal tenaga, kecergasan kanak-kanak

SENARIO 1 :
“MIMI tidak suka sarapan pagi. Kalau makan pagi dia mesti sakit perut. Selalunya lepas bangun tidur, dia akan terus ke sekolah. Lagipun tak sempat. Kami keluar rumah jam 6.45 pagi. Dia suka sambung tidur dalam kereta daripada makan,” kata Halimah ketika diaju soalan kenapa tidak menyediakan sarapan pagi untuk anaknya sebelum melangkah ke sekolah.
Sarapan pagi tidak saja mustahak, sebaliknya pemilihan sajian juga perlu diberikan perhatian kerana ia turut mempengaruhi kecerdasan individu. Kajian menunjukkan pengambilan sarapan pagi dapat membantu seseorang terutama kanak-kanak memberi tumpuan penuh ketika di sekolah dan membantu meningkatkan prestasi pembelajaran.
SENARIO 2 : 

“MUHAMAD pula suka makan nasi dan ketulan nugget ayam. Setiap pagi saya akan sediakan nasi lemak atau nugget. Yang lain dia tidak selera. Lagipun dia bukan dalam kategori lebih berat badan. Dia kurus saja jadi saya kira tidak salah bagi makanan itu. Biar dia gemuk sikit,” kata Zaharah mengenai tabiat makan anaknya yang baru masuk Tahun Satu. 

SENARIO ini mungkin biasa kita dengar. Sama ada tahu atau tidak ambil kisah, segelintir ibu bapa masih tidak memberi perhatian serius terhadap kepentingan sarapan pagi untuk memastikan anaknya dapat menumpukan sepenuh perhatian pengajaran di dalam kelas. 

Mimi mungkin berhadapan dengan kelaparan yang amat sangat, pada jam 9 pagi lantaran tidak makan apa-apa, sejak masuk tidur jam 10 malam dan bangun 6.30 pagi. 
Bagi Muhammad pula untuk beberapa jam awal persekolahan dia mungkin bertenaga, tetapi apabila guru mulai mengajar dan murid lain menumpukan perhatian pada papan hitam, fikirannya mulai mengelamun kerana mengantuk. 

Sarapan pagi tidak saja mustahak, sebaliknya pemilihan sajian juga perlu diberikan perhatian kerana ia turut mempengaruhi kecerdasan individu. Kajian menunjukkan pengambilan sarapan pagi dapat membantu seseorang terutama kanak-kanak memberi tumpuan penuh ketika di sekolah dan membantu meningkatkan prestasi pembelajaran.

Tanpa sarapan pagi, kanak-kanak sukar untuk menumpukan sepenuh perhatian, tidak bermaya dan mengantuk di awal pagi persekolahan.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Universiti Putra Malaysia, Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof, berkata sarapan pagi amat penting bagi memulakan hari individu dengan lebih bertenaga selepas lebih lapan jam tidur, terutama otak.

Bagi kanak-kanak sekolah rendah berusia enam hingga 12 tahun, Dr Barakatun menjelaskan, makanan yang rendah kandungan lemak, sederhana protein dan karbohidrat serta tinggi kandungan serta vitamin dan mineral adalah yang terbaik untuk kanak-kanak sekolah rendah. 

“Antara makanan yang paling mudah adalah bijirin sarapan. Apabila dicampur dengan susu. Mereka turut mendapat pelbagai khasiat seperti protein dan kalsium yang amat penting untuk pertumbuhan tulang dan gigi.

“Selain itu, roti bakar dan susu, roti dan keju ataupun nasi goreng atau mi goreng yang digoreng kurang minyak dan ditambah pelbagai jenis sayur-sayuran boleh dijadikan hidangan sarapan. Kuih-muih yang dibakar atau dikukus seperti popia basah dan apam kukus juga pilihan yang baik. Cuba kurangkan makanan diproses kerana ia tinggi lemak dan garam. Paling penting pelbagaikan hidangan supaya tidak cepat bosan,” katanya mengulas mengenai kepentingan sarapan pagi untuk anak-anak kecil yang mungkin belum arif mengenai kebaikannya.

Dari segi saintifik, kanak-kanak perempuan (sekolah rendah) perlukan 1,200-1,600 kalsium/harian (kcal/hari) manakala kanak-kanak lelaki memerlukan 1300-1800 kcal/hari. Kebiasaannya, mereka perlu makan 4-6 kali sehari. Makan dengan kerap tetapi pastikan saiz hidangan kecil adalah lebih baik berbanding makan banyak pada satu-satu masa.

Disebabkan kanak-kanak lama di sekolah dan perlu tumpu kepada pelajaran, Dr Barakatun berkata, makanan yang tinggi lemak dan gula jika diambil dalam jumlah yang berlebihan akan menyebabkan mengantuk.

Katanya, ibu bapa tidak perlu terlalu risau memikirkan sajian pilihan kerana rata-rata kanak-kanak dewasa ini memasuki tadika dan pastinya makan di awal pagi bukan lagi satu yang asing. 

“Segelas susu di campur coklat ataupun koko sebenarnya sudah memadai. Jika ingin membeli minuman dalam kotak, pastikan ia berasaskan susu kerana minuman berasaskan susu adalah makanan lengkap memadai untuk keperluan di pagi hari. Jangan lupa melihat tarikh luput untuk setiap makanan komersil,” katanya. 

Dr Barakatun tidak menafikan ada kanak-kanak yang enggan makan pagi seperti peribahasa ‘alah bisa tegal biasa’, namun sebagai ibu bapa kena bijak menanganinya secara perlahan-lahan.

“Pastikan pelbagai makanan dapat dihidangkan setiap hari. Mulakan dengan makanan kesukaan mereka dan kemudian apabila mereka sudah biasa mengambil sarapan pagi dan merasai nikmatnya kepada tubuh mereka, kenalkan kepada makanan yang lebih berkhasiat. Ibu bapa bukan saja perlu kreatif, tetapi pastikan waktu makan semua ada di meja. Kalau si ibu suruh anak makan, ibu kenalah juga makan, bukannya hanya memerhati dan mengarah “makan cepat” dari dalam bilik,” katanya.

Tidak sempat menyediakan sarapan, bukan alasan tidak menyediakannya makanan untuk anak kerana segelas susu atau sekotak susu sudah memadai untuk sarapan pagi bagi mereka memulakan hari mereka. Sarapan pagi amat penting untuk memastikan anak-anak dapat memaksimumkan potensi mereka di sekolah. 

Jaga pemakanan kanak-kanak obes

SARAPAN pagi perlu untuk semua kanak-kanak termasuk mereka yang mengalami berat badan berlebihan atau obesiti.

Tanggapan kanak-kanak obesiti biasanya akan makan sesuka hati terutama jika diberikan belanja sekolah boleh mengundangnya makan banyak atau memilih makanan tidak sihat seperti bergoreng dan manis, adalah tidak betul sama sekali. 

Dr Barakatun berkata, pendidikan mengenai apa itu makanan sihat amat penting kepada semua anak-anak ini. 

Ibu bapa tidak seharusnya menyekat mereka yang obes untuk mengambil makanan pada waktu pagi kerana itu boleh menyebabkan kanak-kanak memberontak, sebaliknya perlu diberi secara berpatutan.

Kerjasama pihak sekolah dan kantin sekolah amat penting dengan tidak sewenang-wenangnya menjual makanan yang tidak berkhasiat.

“Pihak sekolah perlu memastikan makanan dijual adalah berkhasiat, selain menggalakkan aktiviti bersukan sekerap mungkin.

“Kanak-kanak obes perlu makan seperti kanak-kanak lain. Apa yang penting kualitinya, selain yang rendah lemak dan tinggi kandungan serat. Galakkan mereka makan sayur dan buah serta minum susu dua kali sehari. Elakkan makanan ringan dan yang diproses serta minuman manis dan bergas. Yang paling penting, pastikan mereka bergerak, bukan duduk saja di tepi padang melihat kawan lain bermain,” katanya.

Nasihat Dr Barakatun, membawa bekal juga mungkin idea yang baik untuk memastikan berat badan terkawal, selain terjamin khasiatnya, kebersihan dan kesegaran makanan.

“Makanan yang mudah basi termasuk berlemak tidak sesuai dibuat bekal ke sekolah. Pada peringkat ini ibu bapa perlu ajar anak-anak mengenal pasti makanan yang rosak melalui bau, warna dan rasanya kerana ia boleh mengundang keracunan makanan,” katanya.

INFO: Sarapan bukan saja memberi tenaga untuk memulakan hari baru, tetapi banyak faedah untuk kesihatan termasuk kawalan berat badan dan prestasi yang lebih baik.

  • Pemakanan berkhasiat dan lengkap, kaya nutrien, vitamin dan mineral memberikan tenaga kepada tubuh badan.



  • Dapat memberi lebih tumpuan serta prestasi di dalam kelas 



  • Lebih tenaga atau kudrat untuk terbabit dalam aktiviti dalam kelas atau di atas padang



  • Membantu merendahkan tahap kolesterol.

    Jenis sarapan:




  • Roti bakar dan susu, roti dan keju atau nasi goreng atau mi goreng yang digoreng kurang minyak dan ditambah pelbagai jenis sayur-sayuran boleh dijadikan hidangan sarapan. 




  • Kuih-muih yang dibakar atau dikukus seperti popia basah dan apam kukus juga pilihan yang baik. Kurangkan makanan terproses kerana makanan seperti ini adalah tinggi lemak dan garam. Yang paling penting adalah pelbagaikan supaya mereka tidak cepat bosan.




  • Makanan yang tinggi lemak dan gula sekiranya diambil dalam jumlah yang berlebihan akan menyebabkan rasa mengantuk. (sumber dari sini)
  • Hukuman kes Adam Adli pengajaran buat pelajar IPT

    KEPUTUSAN Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menggantung pengajian pelajarnya, Adam Adli Abdul Halim selama tiga semester mendapat pelbagai reaksi. Ada yang menganggap tindakan terhadap pelajar tahun akhir jurusan Mengajar Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) itu sebagai menindas, bermotifkan politik dan jelas menghalang pelajar daripada menyuarakan pandangan. Suara ‘protes’ itu bukan saja dikeluarkan pihak pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan yang seiring dengan perjuangan mereka.
    Parti komponen Barisan Nasional (BN), GERAKAN turut melemparkan kecaman sama kepada UPSI dengan menyatakan universiti itu bertindak keterlaluan. Adam Adli, 22, dilaporkan menurunkan bendera dengan wajah Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, di pekarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di Kuala Lumpur, 17 Disember lalu. Di atas tindakannya itu Pihak Berkuasa Tatatertib Pelajar UPSI mendapati tindakannya itu merosakkan dan memudaratkan nama baik universiti, pelajar serta kakitangan UPSI. Tindakannya juga dilihat boleh mengganggu ketenteraman dan keselamatan awam.

    Kita berpendapat tindakan dikenakan itu bukanlah bersifat menghukum tetapi lebih sebagai pengajaran. Pengajaran yang dimaksudkan bukanlah untuk Adam Adli seorang tetapi untuk semua pelajar universiti. Kes Adam Adli harus dijadikan iktibar kepada pelajar agar menghormati undang-undang dan lebih peka terhadap sensitiviti kelompok lain. Sebagai penuntut universiti, mereka juga sepatutnya menunjuk teladan baik yang boleh dicontohi masyarakat luar kampus, terutama generasi pelajar bagaimana menghormati pemimpin negara. 

    Memang benar, bagi memberi makna kepada sistem demokrasi diamalkan negara, mahasiswa wajib diberi ruang berfikir secara kritikal, berbincang secara mendalam dan bersuara dengan lantang. Namun kebebasan dimaksudkan itu harus digunakan secara bertanggungjawab dan dalam ruang lingkup undang-undang. Ia harus digunakan untuk membawa kebaikan dan bukan menimbulkan kemarahan orang lain dengan menghina pemimpin negara.

    Sebagai bakal pendidik, Adam Adli harus sedar bahawa jika guru kencing berdiri, murid akan kencing berlari. Segala tindak tanduk diperhati dan menjadi ikutan anak didiknya kelak. Sekiranya tidak diperbetul tingkah lakunya yang lebih cenderung mengikuti emosi, tidak mungkin beliau boleh melahirkan generasi muda yang mampu berfikir dengan bijaksana. Di atas hujah ini, Adam Adli harus menggunakan tempoh ‘rehat’ yang diberikan kepadanya untuk muhasabah dan memperbetulkan dirinya agar dapat menjadi pendidik yang mampu mengubah negara ke arah yang lebih baik. Dalam pada itu, kita berharap tidak wujud batu api yang cuba menangguk di air keruh untuk kepentingan politik sempit pihak tertentu.
    (Sumber dari sini)

    CUEPACS mahu penjawat awam diberi borang baru

    SERDANG: CUEPACS menggesa semua ketua jabatan yang sebelum ini mendesak kakitangan menandatangani borang penerimaan tawaran Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), diberikan borang baru untuk ditandatangani semula. 
    Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata ia membabitkan kakitangan awam yang menandatangani skim berkenaan sebelum 30 Disember lalu yang kebanyakannya tidak diberikan penjelasan dan pemahaman jelas berhubung skim yang ditawarkan.
    “Mereka yang dipaksa menandatangani borang tawaran tanpa tidak meneliti skim itu perlu diberikan borang baru dan menandatangani semula opsyen berkenaan. Sebelum ini, mereka diminta menandatanganinya secara terburu-buru dan tidak melihat skim serta diberikan formula kenaikan gaji yang tidak tepat.
    “Jadi, kita minta ketua jabatan terbabit memberikan borang baru yang menyatakan dengan jelas lampiran skim kenaikan gaji dan gred (SPBA) supaya mereka boleh menandatangani semula kerana tempoh penerimaan skim dilanjutkan hingga 15 Januari ini ,” katanya selepas Majlis Transformasi dan Ikrar Integriti Pembantu Makmal dan Penolong Pegawai Sains Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), di Universiti Putra Malaysia (UPM), semalam. 

    Katanya, tindakan meminta kakitangan awam menandatangani tawaran tanpa mendapat maklumat jelas bukan saja tidak mengikut prosedur, malah ada kakitangan awam yang mendakwa ketua jabatan tidak faham serta tidak dapat memberikan penjelasan berhubung kemusykilan yang dikemukakan ketika sesi taklimat. 

    Beliau berkata, pihaknya mengakui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang bertungkus lumus membuat semakan semula skim berkenaan bagi memastikan semua pihak berpuas hati, namun meminta pihak berkenaan memberikan perhatian sewajarnya bagi memastikan ia dilaksanakan dengan baik dan tidak merugikan mana-mana pihak. 

    Omar berkata, JPA memberikan tempoh tiga bulan sehingga 31 Mac ini bagi membuat semakan semula dan CUEPACS akan memberikan semula taklimat berkenaan penambahbaikan dan semakan itu sebaik disiapkan oleh JPA. 
    Sementara itu, CUEPACS turut meminta pengurusan lima IPTA penyelidikan, iaitu UPM, Universiti Malaysia (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) supaya menaik taraf jawatan Pembantu Makmal kepada Penolong Pegawai Sains bagi memastikan jawatan itu setanding dengan taraf universiti penyelidikan. 

    Katanya, jawatan Pembantu Makmal sudah tidak relevan dengan taraf universiti penyelidikan kerana ia tidak mencerminkan tahap IPTA berkenaan. 

    Beliau berkata, ketika ini ada kira-kira 700 daripada kira-kira 2,000 Pembantu Makmal yang masih belum dinaikkan taraf sebagai Penolong Pegawai Sains di IPTA berkenaan.
    (sumber dari sini)

    Followers

    Powered by Blogger.